Monday, September 18, 2006

Jika dah memang betul sibuk ...

Ada di antara pengguna myJodoh yang memang sibuk sehingga tidak begitu berkesempatan menggunakan internet. Namun, keyakinan mereka terhadap myJodoh tetap ada. Saya bersyukur dan berterima kasih untuk itu.

Berdasarkan emel di sebelah. Sudah tentu, adalah memadai dengan anda berdaftar di myJodoh. Pendaftaran anda sebagai pengguna berbayar merupakan salah satu daripada usaha selain daripada apa yang pernah saya kemukakan.

Sememangnya telah menjadi tanggungjawab kami di myJodoh, khususnya saya sendiri untuk memastikan Maklumat Diri anda di myJodoh dijenguk oleh orang ramai. Anda boleh menyemaknya sendiri dari myJodoh "siapa mereka" yang menjenguk Maklumat Diri Anda.

Namun, saya cuma pinta dua perkara daripada anda yang benar-benar sibuk untuk melayari myJodoh. Pertama, jangan lupa paparkan nombor telefon anda, supaya mereka boleh terus menghubungi anda. Kedua, jangan lupa berdoa.

Menyentuh tentang doa, sesungguhnya Allah swt berfirman :

"..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. " Al-Baqarah : 186

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." Al-Mukmin:60

Berhubung dengan tatacara berdoa, Iman Al-Ghazali ada menggariskan beberapa langkah. Berikut merupakan penerangan ringkas yang saya sediakan untuk tatapan pintas anda.
  1. Menunggu waktu yang mulia dan sesuai.Antara waktu yang mulia dan sesuai ialah pada hari Arafah, sepanjang Ramadhan, hari Jumaat dan akhir malam.
  2. Serius ketika waktu itu tiba. Jangan mensia-siakannya.Kita harus menghargai waktu yang mulia itu dan memanfaatinya.
  3. Berdoa menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan.
    Umar ra berkata, "Rasulullah saw apabila mengangkat tangannya untuk berdoa, maka tidaklah akan kembalikannya dahulu kedua tangannya itu sehingga diusapkan ke wajahnya", hadith riwayat Tirmizi

    Ibnu Abbas menjelaskan, "Rasulullah saw apabila berdoa, selalu mengumpulkan kedua tapak tangannya dan bahagian dalam dari kedua tapak tangan itu dihadapkan di arah wajahnya. Inilah keadaan-keadaan tangannya dan beliau tidak pernah mengangkatkan pandangangannya ke langit."
  4. Perlahankan suara ketika berdoa, antara berbisik dan bercakap.
    "Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu." Al-Isra: 110
  5. Jangan memaksa diri mencantikan doa dengan menyusun kata-kata yang berbunga.Menurut Al-Ghazali, oleh kerana ada yang mengungkapkan kata-kata yang indah semasa berdoa sehinggakan tidak akan membawa kemaslahatan untuk dirinya sendiri. (Maslahat bermaksud interest dalam B. Inggeris.)
  6. Berdoa dengan rendah diri, khusyuk, penuh pengharapan dan takut.
  7. Mempunyai ketetapan hati.
    Ketetapan hati di sini bermaksud yakin bahawa doa itu akan makbul. Dalam bahasa modernnya jangan ada unsur .."kalau kau nak bagi .. bagi laa .. kalau tak nak bagi suuuuudah."

    Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, maka hendaklah kamu berazam serta benar-benar memohon kepada Allah s.w.t dan janganlah berkata: Ya Allah, jika Engkau kehendaki maka perkenankanlah kepada aku, kerana sesungguhnya Allah itu bukanlah kedekut. Sahih Muslim

    Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, janganlah berkata: Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau kehendaki. Tetapi hendaklah dia serahkan permohonannya dengan senang hati, kerana Allah tidak pernah segan untuk memberikan sesuatu kepadanya. Sahih Muslim
  8. Bersungguh-sungguh memohonSebaik-baiknya diulangi tiga kali.
  9. Mulai berdoa dengan mengucapkan zikir dan pujian kepada Allah.Jangan tergesa-gesa berdoakan apa yang dikehendaki. Pujilah Allah swt tuhan sekalian alam. Bukalah doa dengan salawat ke atas Nabi saw dan tutuplah dengan salawat ke atas Nabi saw.

    Tahukah anda maksud salawat ?

    Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. Al-Ahzab:56

    Berhubung ayat di atas, Professor Dr. H. Mahmud Yunus berkata, "Salawat Allah kepada Muhammad bermaksud menumpahkan rahmat kepadanya. Salawat para malaikat adalah meminta rahmah dari Allah untuk Muhammad. Salawat manusia kepada Muhammad adalah memohon Allah menurunkan hujan rahmat kepada Muhammad."
  10. Mengerjakan Adab BatiniahDari no 1 sehingga no 9 di atas mungkin mudah bagi kita. Namun puncak doa kita termakbul adalah adab batiniah. Adab batiniah adalah bertaubat, memohon ampun. Menurut Al-Ghazali mengembalikan sesuatu yang berasal dari perbuatan zalim. Di sini bermaksud, jika kita pernah buat zalim dengan orang, maka patutlah kita mengembalikan hak mereka. Adab batiniah juga bermaksud menghadapkan hati dan jiwa kepada Allah dengan penuh perhatian.
Saya sendiri jika berdoa, saya akan mendoakan keampunan untuk diri, ibu bapa dan keluarga dan kemudiannya barulah disusuli dengan hajat.

Sempenan Ramadhan yang bakal menjelang ini, marilah kita sama-sama bersedia, bertaubat dan berdoa setiap hari sambil menghayati Ramadhan yang mulia.
Mudahan-mudahan tulisan ini memberi manfaat kepada anda semua.
Ada apa-apa nak komen?

3 comments :

Anonymous said...

salam ..
saya salah seorang pengguna portal myjodoh, mengharap segala jasa baik saudara utk check akaun saya id >> "norh". status saya masih belum diupgrade wpun telah membuat pembayaran rm50, sudah 2x saya email kepada bantuan@myjodoh.net namun tiada respon. saya tidak dpt view personal message dan keluar error.
terima kasih.

aalwi said...

salam noh,

Bantu saya untuk bantu anda. Mailbox myJodoh menerima sekitar 200 - 300 emel dalam sehari. Dan semua perlu dijawab walaupun dah sebulan lebih.

1) Apa alamat emel saudari untuk saya cari emel tersebut.

2) Sila fakskan bukti pembayaran ke 046449318. Setiap pagi saya nanti semak semula semua faks.

Raja Azlan said...

Satu usaha yang bagus untuk berdakwah, mantapkan lagi usaha dengan kaedah yang lebih berhikmah dan jangan gunakan bahasa yang berat