Friday, August 04, 2006

Wakaf Korporat !


Johor Corporation akan mewakafkan 75% daripada saham dalam anak syarikatnya Syarikat Tiram Travel Sdn Bhd. Tiram Travel mengendalikan umrah dan ziarah, telah mencatatkan jualan RM1.51 juta tahun lalu.

Selepas pewakafan saham, keuntungan yang diperoleh akan diagihkan sebanyak 75 % kepada JCorp, 25 % kepada Wakaf An-Nur dan lima peratus daripada jumlah keuntungan itu akan diagihkan di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

Sebelum ini juga JCorp terlibat dalam pewakafan kawasan Masjid Jamek Pasir Gudang, tanah Rumah Kebajikan Darul Hanan, Pasir Gudang dan tanah di Ladang Sungai Papan, Kota Tinggi untuk tapak Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Sebenarnya, pada zaman sekarang, kita bukanlah orang yang pertama mewakafkan perniagaan untuk agama. Golongan korporat Kristien telah lama melakukan sedemikian.

Kebanyakkan church di negara ini mempunyai entiti perniagaan tersendiri. Mereka tidak bergantung kepada sumbangan awam untuk menyelesaikan bil-bil mereka. Malah mereka sendiri boleh mengeluarkan sejumlah wang untuk membantu masyarakat.

Wang itu juga diguna untuk mengumpan remaja kita memeluk Kristien seperti yang pernah heboh satu masa dahulu di kawasan utara. Dari mana mereka mendapat wang ?

Di situlah terletak kehebatan organisasi gereja. Dengan stratergi yang teratur, dakwah yang terancang, kewangan yang mencukupi. Ramai dari kalangan remaja kita yang mudah terpikat dan menjadi murtad.

Sedangkan dalam institusi masjid kita, kita masih bertelingkah tentang soal siapa AJK, siapa pengerusi, pendirian politik beliau dan sebagainya. Tanpa menyedari perkembangan mereka.
Umpama dua ekor katak yang bergaduh di bawah tempurung, seekor mengatakan dunia itu sebesar lubang tempurung, seekor mengatakan ia sebenarnya amat luas.

Kedua-duanya bertegas dengan pendirian masing-masing. Walaupun salah seekor mungkin betul, tetapi kedua-duanya tidak sedar, tempurung itu akan dipijak oleh seekor gajah tidak lama lagi.

Masjid Jamek di Kuala Lumpur seumpamanya mempunyai kutipan mingguan sehingga berbelas ribu ringgit. Sekiranya semua wang itu dilaburkan ke dalam perniagaan, pakcik rasa mereka boleh memiliki sebuah emporium perniagaan.

Melalui perniagaan itu banyak lagi perkara yang boleh dilakukan. Mungkin mereka boleh membantu masjid-masjid di hujung-hujung kampung yang mendapat kutipan tidak lebih dari RM30 seminggu.

Di Arab Saudi, kerajaannya telah mewakafkan sebuah bangunan tinggi, bertempat di Makkah untuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Bangunan itu terdiri daripada lot-lot kedai, yang mana kutipan sewa akan dimasukkan ke tabung masjid.

Pakcik pernah terserempak dengan seorang kawan beragama kriestien di sebuah kedai barangan terpakai, di Jalan Perak, Pulau Pinang. Apabila ditanya, dia menyatakan bahawa dia hanya menguruskan kedai tersebut.

Rupanya kedai tersebut adalah milik sebuah church yang juga terletak di Jalan Perak. Barang-barang yang dijual di kedai tersebut pula adalah hasil dermaan orang ramai.

Yang menarik perhatian pakcik adalah kedai itu sendiri dapat menggaji pekerja dan seorang pengurus. Walaupun barangan yang dijual adalah hasil sedekah tetapi pakcik tertarik dengan konsep yang digunakan untuk menjana pendapatan tetap oleh church tersebut.

Ramai orang melayu beli !

Ramai berkata yang kekuatan ekonomi itu perlu ada dalam Islam, lalu mereka berpusu-pusu mencari kekayaan. Kononnya kata mereka, apabila umat Islam kaya dan kuat dari segi ekonomi, musuh akan gerun. Tetapi akhirnya mereka hanya memenuhi poket sendiri dan gerun kepada panggilan sedakah dan jihad.

Tahniah JCorp. Diharap Jcorp dapat menjadi contoh dalam usaha mengukuhkan ekonomi institusi-institusi Islam. Semoga akan ada organisasi korporat lain akan mengikut jejak langkah JCorp.

Apalah guna Celcom dan Telekom Malaysia menaja itu dan ini, tetapi semuanya hiburan ... ?
Ada apa-apa nak komen?

No comments :