Thursday, June 02, 2005

Dari Aisyah ra Ummul mukminin ra, katanya ...

Al-Hadith : 3

Dari Aisyah ra Ummul mukminin ra, katanya, wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw merupakan mimpi-mimpi yang baik sewaktu baginda tidur. Biasanya mimpi itu dilihat jelas oleh baginda seperti jelasnya cuaca di pagi hari. Semenjak itu hati baginda tertarik untuk mengasingkan diri ke Gua Hira.

Di situ baginda beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Untuk itu baginda membawa bekalan yang secukupnya. Setelah bekalan habis, baginda kembali kepada Khadijah untuk mengambil lagi bekalan. Kemudian baginda kembali semua ke Gua Hira.
Sehingga satu ketika datang kepada baginda Al-Haq (wahyu), iaitu sewaktu baginda masih berada di Gua Hira.

Malaikat datang kepada baginda, lalu katanya, "Bacalah !"

Jawab nabi, "Aku tidak pandai membaca."

Nabi selanjutnya menceritakan, "Aku ditarik dan dipeluk sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskan dan disuruhnya aku membaca."

"Bacalah !", katanya.

Jawabku, "Aku tidak pandai membaca."

Aku ditarik dan dipeluk lagi sehingga aku kepayahan dan disuruh lagi membaca.
"Bacalah !", katanya.

Aku menjawab, "Aku tidak pandai membaca."

Aku ditarik dan dipeluknya lagi untuk kali ketiga, kemudian dilepaskannya seraya berkata, "Iqra' bismi rabbikalladzi khalaq. Khalaqal insaanna min 'alaq. Iqra' wa rabbukal akram."
(Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah ! Demi tuhanmu yang Maha Mulia.)

Setelah itu nabi pulang ke rumah Khadijah binti Khuwalid, lalu berkata, "Selimuti aku ! Selimuti aku !" Lantas diselimuti oleh Khadijah, hingga hilang rasa takutnya.

Kata Nabi saw kepada Khadijah (setelah dikhabarkan semua kejadian yang baru dialami itu. "Sesungguhnya aku cemas akan diriku (akan binasa)."

Kata Khadijah, "Jangan takut! Demi Allah! Tuhan tidak sekali-kali tidak akan membinasakan anda. Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang sengsara, mengusahakan (mengadakan) barang keperluan yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang kesusahan kerana menegakkan kebenaran."

Setelah itu Khadijah pergi bersama-sama Nabi bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asab bin Abdul Uzza, iaitu sepupu Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani pada masa Jahiliyah itu. Dia pandai menulis buku dalam bahasa Ibrani. Maka disalinnya seberapa banyak Kitab Injil dari bahasa Ibrani dengan izin Allah. Usianya telah lanjut dan matanya telah buta.
Kata Khadijah kepada Waraqah, "Wahai anak kepada bapa saudaraku ! Dengarlah khabar dari anak saudaramu (Muhammad) ini."

Kata Waraqah kepada Nabi, "Wahai anak saudaraku ! Apakah yang telah terjadi kepada anda ?"
Lalu Rasulullah saw menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialami baginda.
Berkata Waraqah, "Inilah Namus (malaikat) yang pernah diutuskan oleh Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu, iaitu ketika anda diusir keluar oleh kaum anda."

Maka bertanya Rasulullah saw, "Apakah mereka akan mengusirku ?"

Jawab Waraqah, "Ya betul ! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti anda, yang tidak dimusuhi orang. Jika saya sempat sehingga hari itu, saya akan menolong anda."
Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terputus untuk sementara waktu.

Kata Ibnu Syihab, Abu Sala,ah bin Abdurrahman kepadanya (Aisyah ra), bahawa Jabir bin Abdullah Al Anshari menceritakan tentang terputusnya wahyu, katanya Nabi saw berkata dalam hadithnya, "Pada suatu waktu, ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba kedengaran olehku satu suara dari langit. Maka kuangkat pandanganku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan olehku malaikat yang pernah datang kepadaku di Gua Hira dahulu. Dia duduk di kursi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah, 'Selimuti aku! Selimuti aku!' Lalu Allah swt menurunkan ayat : 'Ya ayuhal muddatsir ! Qum, fa andzir ! Wa rab baka fa kabbir ! Wa tsiyaabaka fa thanhir ! Wa rujza fahjur !'

(Wahai orang yang berselimut! Bangunlah! Maka berikanlah peringatan ! Dan besarkanlah Tuhanmu ! Dan bersihkanlah pakaianmu ! Dan jauhilah berhala !)"
Maka semenjak itu wahyu selalu turun berturut-turut.

s. Bukhari I :: Wahyu.

p/s : hadith panjang .. mudah-mudahan tiada kesilapan menaip.
Ada apa-apa nak komen?

No comments :